KOTA TINGGI – Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas dipercayai menembak dua lelaki dan seorang wanita warga asing dalam kejadian di sebuah restoran di bandar ini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kota Tinggi menerima maklumat berkenaan kejadian itu pukul 1.30 tengah hari.
“Siasatan mendapati dua lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 37 hingga 63 tahun maut ditembak dengan menggunakan senjata api jenis shotgun di sebuah restoran di bandar ini. Ketiga-tiganya maut di tempat kejadian.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Bahagian D9 Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) membuat satu tangkapan pada pukul 2 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tangkapan tersebut melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun di kawasan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas selaras senjata api jenis shotgun buatan Benelli M Super yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa dalam kes berkenaan.
Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan senjata api dimiliki lelaki itu mempunyai kelulusan lesen yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Lesen senjata api itu dikeluarkan untuk menjaga musuh tanaman bukan untuk tujuan lain. Saspek mempunyai tanah pertanian yang melayakkannya memiliki senjata api. Suspek merupakan pekebun,” katanya.
Jelasnya, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat 12 kali.
“Setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan. Bagaimanapun berdasarkan siasatan awal kejadian yang berlaku tidak melibatkan elemen kongsi gelap dan unsur-unsur keganasan.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan berpunca daripada masalah hutang peribadi. Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan bersabit kejadian tersebut.
Pihaknya turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran dan talian hotline 019-2792095 atau talian bilik gerakan IPK Johor 07-2212999.- MalaysiaGazette
















