KUALA LUMPUR: Bersembunyi di dalam hutan tebal di waktu siang dan menyelinap masuk ke tapak pembinaan pada waktu malam bagi mengelak ancaman binatang buas.
Itu taktik seorang banduan warga Pakistan yang nekad menjadi ‘pelarian’ selepas meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh, pada 9 April lalu, sebelum berjaya dicekup semulan petang semalam.
Tangkapan terhadap suspek dibuat oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sekitar jam 5 petang di KM 24, Batu 14, Jalan Gombak Lama.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan selama enam hari dengan kerjasama Kedutaan Pakistan, pasukan operasi digerakkan ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat persembunyian suspek.
“Semasa kejadian, suspek cuba melarikan diri, namun ketangkasan pasukan operasi berjaya mematahkan cubaan itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai tempoh persembunyian, Zakaria berkata, suspek mengaku menggunakan pakaian yang dicuri dari tapak pembinaan bagi mengelirukan pihak berkuasa dan orang awam.
“Siasatan awal seterusnya mendapati suspek mengaku telah melarikan diri ketika turun daripada trak polis.
“Sepanjang tempoh tujuh hari meloloskan diri, dia mengaku bersembunyi di dalam hutan di sekitar kawasan tapak pembinaan pada waktu siang.
“Pada waktu malam pula, dia menyelinap masuk ke dalam tapak pembinaan untuk berlindung dan bermalam berikutan risiko keselamatan dan ancaman binatang buas,” jelasnya.
Tambah beliau, semakan sistem mendapati, suspek pertama kali tiba di negara ini pada 11 Januari tahun lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pas lawatan sosial selama 30 hari.
“Proses temubual dan pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan pada hari yang sama juga telah mengesahkan suspek merupakan warga Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada 9 April lalu.
“Suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan telah ditahan di Depot Imigresen bagi tujuan tindakan lanjut,” jelasnya.
Tegas beliau, JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil di bawah undang- undang sedia ada” ujarnya. – MalaysiaGazette
















