Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus

KUALA LUMPUR – Seramai 33 individu dijatuhi hukuman denda RM3,000 dan tambahan 10 bulan penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan menceroboh dan melakukan khianat di sebuah pusat hiburan di Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu dilaporkan kepada polis pada 5 April lalu melibatkan sekumpulan individu yang menceroboh premis berkenaan sebelum bertindak melakukan kerosakan harta benda.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis berjaya menahan kesemua individu terlibat bagi membantu siasatan.

“Pada 10 April 2026, seramai 33 individu telah dituduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan memiliki senjata atau objek berbahaya serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat sehingga menyebabkan kerugian atau kerosakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan dan sebelum ini dibenarkan jaminan sementara menunggu sebutan semula kes.

Tambahnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan hukuman denda RM3,000 serta menjatuhkan tambahan hukuman penjara selama 10 bulan ke atas semua tertuduh.

Katanya, tindakan tegas itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan awam terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast