KUALA LUMPUR – Isu membabitkan harga bahan api dan dakwaan pengenaan tol di Selat Hormuz dikesan menjadi kandungan berita palsu paling tinggi direkodkan dalam tempoh krisis bekalan global ketika ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil berkata, sehingga jam 7 pagi hari ini, sebanyak 463 permohonan penurunan kandungan berita palsu telah diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurutnya, statistik tersebut dikumpul berdasarkan aduan orang awam yang kemudiannya dipanjangkan kepada penyedia platform media sosial untuk tindakan susulan.
“Daripada jumlah itu, Facebook mencatatkan permohonan tertinggi iaitu sebanyak 185 permohonan, diikuti TikTok dengan 142 kandungan dan Threads sebanyak 131 kandungan.
“Apa yang dikesan, kandungan berita palsu yang paling tinggi adalah melibatkan isu harga bahan api serta isu Tol Selat Hormuz,” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri yang turut membincangkan beberapa keputusan penting di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Mengulas lanjut mengenai tindakan perundangan, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mendedahkan sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak berkuasa setakat ini.
“Daripada jumlah tersebut, satu kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan di mahkamah.
“Selain itu, lima kes lagi telah mendapat nasihat Peguam Negara untuk dikenakan arahan kompaun, manakala baki kes-kes lain masih dalam proses siasatan.
“Semua permohonan ini akan terus dipantau dan kita pastikan tindakan sewajarnya diambil oleh penyedia platform bagi mengawal penyebaran maklumat tidak benar yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















