JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Pakistan dan seorang janda warga Indonesia di sini yang hidup seperti suami isteri sejak Aidilfitri lalu terbongkar selepas diserbu dalam operasi cegah maksiat.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan awam berkenaan pasangan tersebut yang bersekedudukan di sebuah rumah flat.
Susulan itu serbuan dilakukan pukul 1 pagi dan pintu dibuka 5 minit kemudian oleh lelaki warga asing terbabit yang hanya memakai seluar tanpa baju.
“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke ruang tamu untuk pemeriksaan lanjut. Bilik didapati gelap dan penguat kuasa membuka suiz lampu.
“Pemeriksaan di satu bilik didapati terbuka dan penguat kuasa masuk untuk membuat pemeriksaan dan menemui seorang wanita sedang duduk memakai seluar panjang dan t-shirt atas tilam.
“Semasa disoal siasat, mulanya pasangan ini susah untuk beri kerjasama seolah-olah tidak pandai bahasa Melayu,” menurut JAINJ dalam kenyataan berkenaan.
JAINJ memberitahu, penguat kuasa kemudian marah lelaki tersebut sebelum mengakui boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan mengaku tinggal berdua dalam bilik tersebut.
Pihak penguat kuasa menemukan pasport lelaki, telefon dan pakaian lelaki dalam bilik itu serta mereka mengaku hanya berdua-duaan dan bukan suami isteri.
Lelaki ini mengaku masih bujang, berumur 30-an, berasal dari Pakistan dan wanita pula warga Indonesia berumur 40-an, mengaku berstatus janda anak tiga dan kedua-duanya bekerja di daerah ini.
Lelaki berkenaan bekerja sebagai buruh kontrak mengikut majikan ke tempat kerja dan wanita pula pergi kerja jalan kaki sebagai tukang cuci tidak jauh dari situ.
Pasangan itu menyewa bilik dengan bayaran RM400 sebulan dan sudah tinggal bersama-sama sejak hari raya lalu.
JAINJ mendedahkan, semasa hari kejadian mereka pulang kerja pukul 6 petang sebelum serbuan dilakukan pada awal pagi.
“Keadaan bilik agak berkecah dengan dipenuhi baju wanita dan lelaki bergantung di ampaian dalam bilik. Bilik ini hanya mempunyai tilam kelamin tanpa katil.”
Pada masa pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pengadu yang prihatin membuat aduan tersebut.
“Pengadu sudah lama hendak buat aduan tetapi mulanya takut-takut. Bagaimanapun, penguat kuasa menjelaskan, identiti pengadu akan dirahsiakan. Pasangan ini buat berani saja duduk sebilik seolah-oleh sudah bernikah.
“Pengadu ini 100 kali lebih baik daripada orang yang komen dalam Facebook kata tempat lain banyak lagi maksiat tapi tidak buat aduan,” tambah JAINJ lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat.- MalaysiaGazette
















