SUBANG JAYA – Setahun berlalu sejak tragedi letupan saluran gas yang meranapkan kediaman dan memori penduduk Putra Heights, Syawal kali ini hadir dengan makna yang jauh berbeza membawa sinar harapan, pemulihan dan kehidupan baharu.
Di Kampung Kuala Sungai Baru, kawasan yang suatu ketika dahulu dipenuhi abu, serpihan dan kesedihan, kini kembali bernyawa. Sebanyak 18 unit rumah baharu yang siap dibina menerusi projek Bina Baharu Rumah (BBR) menjadi simbol kebangkitan buat mangsa yang terjejas.
Bagi Mohamad Nasir Abd Hamid, 70, Aidilfitri tahun ini bukan sekadar sambutan biasa, tetapi detik penuh syukur selepas melalui fasa paling getir dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya dapat kembali memiliki rumah. Ini bukan sekadar tempat berteduh, tetapi ruang untuk kami bina semula kehidupan,” katanya penuh emosi.
Beliau yang sebelum ini terpaksa tinggal di rumah sewa sementara dengan bantuan RM2,000 sebulan daripada Kerajaan Negeri Selangor, kini mampu menarik nafas lega apabila menerima kunci rumah baharu yang dibina sepenuhnya tanpa kos.

Walaupun trauma masih berbekas, Mohamad Nasir memilih untuk terus melangkah ke hadapan.
“Memang sukar dilupakan, tetapi kita kena reda. Ini semua ketentuan Tuhan,” ujarnya tenang.

Syawal kali ini disambut sederhana, namun cukup bermakna – dengan hidangan tradisi seperti rendang, serta kunjungan anak cucu yang kembali menghidupkan suasana rumah yang pernah hilang.
Program Bina Baharu Rumah di bawah KPKT

Projek pemulihan di Kampung Kuala Sungai Baru ini merupakan inisiatif di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diketuai Menterinya Nga Kor Ming bersama SPNB dengan peruntukan sebanyak RM4.85 juta. Projek tersebut direalisasikan menerusi Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara dan syarikat swasta.
Selain pembinaan semula kediaman oleh SPNB di Kampung Kuala Sungai Baru, kerja-kerja baik pulih di kawasan lain turut melibatkan pemaju Sime Darby Bhd, mempercepatkan proses pemulihan keseluruhan komuniti yang terjejas.

Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming bergambar bersama penerima pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights
di Tapak No 8, Projek Kampung Sungai Baru, Putra Heights, Subang Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 DISEMBER 2025
Inisiatif ini bukan sahaja memulihkan fizikal kediaman, tetapi turut mengembalikan maruah, kestabilan dan keyakinan mangsa untuk meneruskan kehidupan.
“Dari situ kami mula nampak sinar.”
Seorang lagi mangsa, Azidah Puteh Azib, 45, turut berkongsi detik hitam yang mengubah hidupnya sekeluarga dalam sekelip mata.

“Petang itu kami tahu rumah terbakar, tetapi tidak sangka ia musnah sepenuhnya. Selepas keluar dari PPS, kami menyewa hampir lapan bulan,” katanya.
Namun, sinar harapan mula muncul apabila pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memaklumkan bahawa rumahnya akan dibina semula.
“Sekitar Mei, kami dimaklumkan pembinaan akan bermula selepas Hari Raya Haji. Dari situ kami mula nampak sinar,” katanya.
Kini, dengan rumah baharu yang siap, Azidah menyifatkan Syawal kali ini sebagai titik permulaan baharu buat keluarganya, meskipun masih terkenang kediaman lama yang didiami sejak
Dari runtuhan dan kesedihan, kini bangkit sebuah komuniti dengan harapan baharu.
Syawal di Putra Heights tahun ini bukan sekadar perayaan, ia adalah simbol kebangkitan, bukti keprihatinan kerajaan, dan kisah bagaimana sebuah tragedi mampu ditukar menjadi permulaan yang lebih kuat. – MalaysiaGazette
VIDEO PENUH:
Syawal Mengubat Luka, Mangsa Putra Heights Ukir Harapan Baharu
Syawal Mengubat Luka, Mangsa Putra Heights Ukir Harapan Baharu
















