JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu sindiket selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita termasuk dalang utamanya serta merampas dadah RM1.8 juta dalam serbuan di kawasan Aliff Height, Residensi Mutiara Indah di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan dalam Op Jaring dilakukan pukul 12.30 pagi dan mereka yang ditahan semuanya warga tempatan berusia 21 hingga 24 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui lambakan dadah termasuk lebih 11.6 kilogram MDMA, serbuk ekstasi, ketamin, syabu serta 1,796 pil Erimin 5 selain peralatan pembungkusan semula.
“Pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Volkswagen Golf di parkir kediaman turut menemukan tiga paket ketamin. Keseluruhan rampasan dianggarkan 12.95 kilogram dengan nilai pasaran dianggarkan RM1.8 juta.” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Menurut Ab Rahaman, siasatan awal mendapati dua suspek bertindak sebagai penyewa rumah manakala seorang lagi dipercayai dalang utama sindiket berusia 24 tahun dan wanita itu adalah teman wanitanya.
Jelasnya, sindiket dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menjadikan kediaman berpengawal sebagai lokasi simpanan dan pembungkusan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Pihaknya turut menyita pelbagai aset termasuk dua kereta dan wang tunai dengan nilai keseluruhan sitaan RM146,710, menjadikan jumlah rampasan dan sitaan mencecah RM1.95 juta.
Menurut beliau, ujian air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepine manakala seorang lagi positif ketamin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua mereka direman tujuh hari hingga 26 April – MalaysiaGazette
















