JOHOR BAHRU – Lebih 60 peratus daripada keseluruhan 10,000 penyertaan baharu yang diterima UMNO ketika ini melibatkan golongan muda berusia bawah 40 tahun.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, perkembangan berkenaan melihatkan parti itu kembali menambat hati orang muda.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu memberitahu, seramai 6,009 permohonan diterima melibatkan sayap Pemuda, manakala ahli biasa (2,511); Wanita (791) dan Puteri (689).
“Inisiatif Rumah Bangsa yang diilhamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja berjaya menarik kembali bekas-bekas ahli, tetapi turut menarik sokongan ramai ahli baharu.
“UMNO bukan sahaja sebuah parti politik semasa tetapi merupakan parti politik masa depan rakyat Malaysia. Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan sokongan ini termasuk kesemua Perdana Menteri sama ada ahli UMNO atau bekas UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan ke Projek Menaik Taraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, di sini hari ini.
Katanya, faktor lain yang menjadi pendorong kerana UMNO dibarisi kepimpinan yang profesional, pemimpin yang disayangi dan dihormati rakyat serta rekod pencapaian yang membanggakan sama ada peringkat Pusat mahupun negeri.
Menurutnya, UMNO juga dilihat sebagai sebuah parti politik yang lebih rasional dan damai berbanding mana-mana parti politik lain apabila tiada perbalahan dalaman sesama ahli berlaku.
“Pemimpin UMNO tidak memaki hamun, menjatuhkan imej parti di khalayak ramai sebaliknya masing-masing mempunyai integriti dan disiplin tinggi. Ketika parti lain pecat-memecat, kita menerima kemasukan ramai ahli.
“Pendaftaran keahlian UMNO secara online ini bukan perkara baharu, sudah ada sejak 2020 lagi, namun susulan pelaksanaan Rumah Bangsa, kita aktifkan semula dan ia mendapat sambutan menggalakkan,” ujar Ahli Parlimen Pontian itu lagi.
Baru-baru ini, media melaporkan mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Melaka pada 17 April lalu memutuskan kesemua 6,252 permohonan diterima menerusi inisiatif Rumah Bangsa diluluskan tanpa syarat.
Pada Selasa lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula dilaporkan berkata, pihaknya menerima 3,716 permohonan keahlian baharu dalam tempoh beberapa hari lalu. – MalaysiaGazette
















