TEMERLOH – Perikatan Nasional (PN) Pahang menetapkan sasaran besar untuk menawan negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan meletakkan misi memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 Parlimen.
Sasaran berani itu menjadi antara enam resolusi utama yang dicapai dalam sesi pemukiman pimpinan tertinggi PN Pahang melibatkan Pas, Bersatu dan Gerakan.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sasaran itu ditetapkan secara strategik berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap faktor kebolehmenangan calon dan kekuatan jentera parti.
“Kita bertekad memperkukuh gerak kerja bagi memastikan PN mampu menerajui Pahang selepas PRU-16. Selain sasaran kemenangan kerusi, kita komited membentuk pentadbiran mesra rakyat yang merentasi kaum dan latar belakang politik,” katanya dalam sidang media Kompleks Tahfiz Al-Quran dan Anak Yatim Al-Qaradhawi (KOMTAQ), Kuala Krau di sini hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga Ahli Dewan Negeri Cheka, keyakinan untuk mencapai sasaran bersandarkan kepada kesiapsiagaan jentera parti serta kerjasama erat antara semua komponen dalam gabungan PN.
Ketika ditanya mengenai status kerusi Parlimen Indera Mahkota, Timbalan Presiden Pas itu menegaskan, perkara tersebut belum sesuai dibincangkan secara terbuka buat masa ini namun yakin PN mampu menambah tiga lagi kerusi Parlimen.
“Soal agihan kerusi bukan untuk dibincangkan sekarang. Ia akan diputuskan di peringkat tertinggi selepas perbincangan mendalam bersama parti komponen.
“Fokus utama ketika ini ialah memperkukuh gerak kerja di lapangan dan memastikan mesej perjuangan PN sampai kepada rakyat,” katanya.

Dalam pemukiman itu, pimpinan PN Pahang turut menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap setiap strategi yang dirangka bagi memastikan misi ‘26-10’ menjadi kenyataan.
Dengan sasaran agresif itu, PN Pahang jelas memberi isyarat awal bahawa gabungan berkenaan bersedia memperhebat persaingan politik negeri menjelang PRU-16 sekali gus membuka gelanggang perebutan kuasa yang dijangka semakin sengit.
Selain itu, PN turut memberi penekanan kepada pengukuhan jentera parti di semua peringkat dengan menggembleng tenaga petugas secara menyeluruh.
Dalam masa sama, PN Pahang berikrar untuk menawarkan sebuah kerajaan yang berintegriti, adil serta berteraskan kebajikan rakyat sekiranya diberi mandat.
“Fokus utama adalah kepada penyelesaian isu rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial.
“Gabungan itu juga komited untuk membudayakan pentadbiran yang mesra rakyat, merentasi kaum, budaya, daerah serta latar belakang politik, sebagai usaha memperkukuh perpaduan negeri,” katanya.
Bagi memastikan setiap perancangan mencapai sasaran, PN menegaskan semua strategi dan gerak kerja akan dipantau secara berterusan, dinilai secara berkala serta ditambah baik dari semasa ke semasa.
Mengulas lanjut, langkah tersebut mencerminkan kesungguhan PN Pahang untuk tampil sebagai pencabar utama dalam landskap politik negeri menjelang PRU-16 dengan memberi isyarat lebih awal.
“Kita masih kekal dan buat pelancaran logo PN teraju Pahang. Kalau kita tengok analisa kos sara hidup, pemaslahan dalaman kerajaan sekarang, PN mampu menjadi pilihan rakyat.
“Insya-Allah kitab oleh mengekalkan kedudukan PN dan menambah kerusi di Pahang. Walaupun ada yang menggambarkan PN ada masalah tetapi melalui resolusi ini kita dapat urus dengan baik, masih intim dan memperkukuh muafakat PN,” katanya.
Ketika ditanya mengenai penstrukturan semula kepimpinan, khususnya membabitkan jawatan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, beliau menegaskan, proses itu berjalan lancar tanpa menjejaskan gerak kerja parti.- MalaysiaGazette
















