Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) mengatur langkah lebih agresif dengan menjadikan negeri-negeri selatan sebagai medan tempur utama, dalam usaha mencetuskan ‘gelombang politik’ yang berpotensi meruntuhkan dominasi tradisi parti lawan.

Melaka, Johor dan Negeri Sembilan kini berada dalam radar strategik PN, bukan sekadar sebagai medan pilihan raya biasa, tetapi sebagai ‘penentu arah’ sokongan rakyat menjelang percaturan politik lebih besar.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi bayangan jelas bahawa fokus ke selatan bukan langkah rawak, sebaliknya satu strategi tersusun untuk menembusi kubu yang sekian lama sukar digugat.

“Namun kita beri perhatiap persiapan PRN untuk Johor sebab ada kemungkinan dijangka tahun hadapan, (kita juga) sudah buat pelancaran jentera di Melaka.

“Tiba-tiba kita berpendangan satu lagi isu di Negeri Sembilan kerana isu ini besar membabitkan politik. Jadi fokus kami kepada Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Momentum ini akan jadi ukuran, nak tengok sejauh mana penerimaan rakyat kerana di situ merupakan kubu UMNO,” katanya di Kompleks Tahfiz Al-Quran dan Anak Yatim Al-Qaradhawi (KOMTAQ), Kuala Krau di sini, semalam.

Menurut Pengerusi PN Pahang itu, pelancaran jentera PN di Melaka dilaporkan mencetuskan kebangkitan luar jangka di peringkat akar umbi, sekali gus memberi isyarat awal bahawa gelombang perubahan mungkin sedang bermula.

Sementara itu, katanya, di Johor pula dilihat sebagai ‘bom jangka’ politik yang sedang dipersiapkan rapi, dengan gerak kerja intensif digerakkan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.

Terbaru, ujarnya, di Negeri Sembilan bakal menjadi medan dilihat senyap tetapi berbahaya, apabila perkembangan politik semasa membuka ruang kepada perubahan sokongan yang sukar dijangka.

Tambahnya, PN kini secara terbuka mensasarkan untuk memecahkan dominasi UMNO di negeri-negeri berkenaan iaitu kawasan yang selama ini dianggap kubu kuat dan hampir mustahil ditembusi.

“Kita tidak lagi melihat negeri-negeri ini sebagai kubu kebal sesiapa. Ini masa untuk rakyat menilai dan membuat perubahan,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Cheka berkenaan.

Menurutnya, momentum di selatan akan menjadi indikator paling kritikal untuk mengukur sejauh mana PN benar-benar mampu menyaingi dan menggugat kekuatan parti lawan di peringkat akar umbi.

Secara tidak langsung strategi PN itu dilihat sebagai langkah pembukaan sebelum pertempuran lebih besar di peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Jika strategi PN berjaya mencipta impak di Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, kesannya dijangka merebak ke negeri-negeri lain seperti kesan domino.

Dengan naratif lebih tajam, jentera yang semakin tersusun dan pendekatan agresif yang kini jelas kelihatan, PN bukan sekadar mencabar tetapi dilihat sedang bersedia untuk menggoncang politik tradisi.

Ketika gelombang selatan mula bergerak, persoalan kini sejauh mana ia mampu menjadi tsunami politik yang mengubah segalanya, atau adakah sekadar auta? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast