Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

JOHOR BAHRU – Dua kedai runcit masing-masing didenda sebanyak RM4,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana tidak mempamerkan tanda larangan penjualan produk rokok mengikut spesifikasi yang ditetapkan, tahun lalu.

Hukuman tersebut diputuskan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid selepas Orang Kena Saman (OKS), Kedai Runcit Mohd Hafiz dan Hariza Enterprise masing-masing mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.

Mahkamah turut memerintahkan bahawa waran melevi akan dikeluarkan, jika denda berkenaan gagal dibayar.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, OKS didakwa tidak mempamerkan tanda larangan penjualan produk merokok mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Kedai Runcit Mohd Hafiz didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kebudayaan 18, Taman Universiti, Skudai di sini, pukul 10.20 pagi, 26 Oktober 2025.

Hariza Enterprise pula didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kebayan Sena 10/7, Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini, pada pukul 6.09 petang, 26 November 2025.

Kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Peraturan 7(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Mohamad Farid Hassan, manakala kedua-dua OKS tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast