KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang memuat naik karikatur didakwa menghina institusi kesultanan, kerana dikhuatiri mencetuskan ketegangan kaum dan agama di negara ini.
Yang Dipertua Persatuan Anak Melayu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Datuk Dr. Aziz Jamaluddin Mohd Tahir berkata, perbuatan memuat naik karikatur yang menggambarkan Sultan Selangor dalam imej tidak wajar satu tindakan biadab dan derhaka, selain berpotensi menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu Islam khususnya di Selangor.
Menurutnya, tindakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan isu penternakan babi di negeri berkenaan, susulan titah Sultan Selangor yang menasihatkan agar rancangan berkaitan dibatalkan.
“Tindakan menyebarkan kandungan sensitif termasuk karikatur berkenaan dilihat sebagai cubaan untuk menghasut rakyat dan mencetuskan kemarahan awam,” dakwanya kepada media selepas membuat laporan polis di IPD Putrajaya, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa segera mengambil langkah tegas termasuk menangkap, menyiasat dan mendakwa individu terlibat bagi mengelakkan situasi menjadi tidak terkawal sehingga mencetuskan konflik antara kaum.
Tambahnya, hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengulangi tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar menghormati adat, institusi diraja serta sensitiviti masyarakat di Malaysia, selaras dengan prinsip hidup bermasyarakat yang menuntut sikap saling menghormati antara satu sama lain. – MalaysiaGazette
















