Tunku Mahkota Ismail berkenan berangkat bagi melihat sendiri perkembangan Hospital Pasir Gudang, Pasir Gudang baru-baru ini.

ISKANDAR PUTERI – Isu perjawatan dan kelengkapan di Hospital Pasir Gudang (HPG) perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kelewatan.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, ini bagi memastikan HPG dapat beroperasi sepenuhnya dengan segera.

Baginda bertitah, perkara tersebut perlu memandangkan sektor kesihatan adalah sektor kritikal dan tidak boleh ditangguhkan.

“Saya mahu pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang disegerakan. Walaupun sebahagian besar perkhidmatan telah mula beroperasi, isu perjawatan dan kelengkapan perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kelewatan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Pada 29 Jun lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, HPG yang diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos 2025.

Bagaimanapun, pembukaan hospital baharu itu ditangguhkan ke tahun ini berikutan berlaku beberapa isu teknikal termasuk kekurangan petugas kesihatan, khususnya doktor serta jururawat.

Pada akhir tahun lalu, HPG mula beroperasi secara berperingkat-peringkat dengan beberapa kemudahan dan perkhidmatan awal bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat, khususnya di kawasan berkenaan.

Bagi pengoperasian HPG, sebanyak 11 daripada 14 kepakaran perubatan utama mula beroperasi merangkumi Jabatan Kecemasan dan Trauma, Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Anestesiologi, Obstetrik & Ginekologi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast