Penguat Kuasa JAINJ menahan pasangan berkhalwat di sebuah rumah kedai dua tingkat di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang janda ditangkap khalwat dengan seorang lelaki bujang dalam serbuan cegah maksiat di sebuah rumah kedai dua tingkat di sini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerima aduan awam berkenaan mengenai pasangan berkenaan berdua-duaan di rumah itu yang berhampiran sebuah pasar raya terkenal sebelum melakukan serbuan pukul 2.30 pagi.

Menurut JAINJ, pihaknya tiba di lokasi dan mendapati pintu dan gril di tingkat bawah tidak berkunci menyebabkan penguat kuasa dapat terus naik ke tingkat atas.

“Terdapat beberapa bilik yang bertutup dan penguat kuasa mengetuk bilik-bilik berkenaan.

“Di salah satu bilik, pintu dibuka lima minit selepas diketuk oleh seorang wanita yang hanya berkemban dengan tuala. Wanita itu cuba menutup semula pintu tetapi penguat kuasa berjaya menghalang.

“Selepas semua suis lampu dibuka, ditemui pula seorang lelaki sedang baring dalam selimut di atas katil dan apabila diminta bangun, lelaki itu sebenarnya berbogel,” menurut kenyataan itu hari ini.

JAINJ memaklumkan, hasil soal siasat, pasangan berkenaan mengaku bukan suami isteri serta bukan adik beradik tiri.

Lelaki masih bujang dan wanita itu berusia 20-an, berstatus janda ada anak yang dijaga ibunya di kampung, mereka berdua bekerja di daerah ini.

“Bilik terbabit disewa wanita itu dengan harga RM600 sebulan termasuk api dan air. Pada malam itu, dalam pukul 11.30 malam, lelaki itu menyelinap ke bilik,” katanya.

Mengikut maklumat pengadu, JAINJ memberitahu, lelaki itu kerap datang pada waktu malam selepas wanita itu pulang kerja pada pukul 10 malam.

“Apabila ditanya apa tujuan lelaki datang, dia kata mahu berehat kerana penat dan tidak berapa sihat.

“Penguat kuasa sudah biasa dengan pelbagai alasan selepas ditangkap pasti ada sahaja alasan untuk melepaskan diri. Kalau tidak sihat, kenapa tidak pergi hospital,” ujar JAINJ.

Apabila penguat kuasa bertanya sama ada mereka mempunyai hasrat untuk bernikah, pasangan berkenaan mengakui dan mendakwa sedang mengumpul wang.

Pasangan berkenaan ditangkap khalwat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast