Mohd Sukki.

GEORGE TOWN – Penganjuran program hiburan berskala besar seperti Rain Rave Water Music Festival 2026 di ibu negara wajar dinilai secara menyeluruh agar tidak tersasar daripada nilai dan batas yang ditetapkan agama.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, persoalan utama bukan sekadar penganjuran acara  tetapi sejauh mana ia mampu dikawal daripada melanggar garis panduan syarak.

Katanya, pengalaman penganjuran festival seumpama itu di peringkat antarabangsa sering dikaitkan dengan percampuran bebas antara lelaki dan perempuan selain isu pemakaian serta suasana hiburan melampau.

Jelas beliau, jika elemen-elemen itu tidak dikawal dengan rapi maka ia berpotensi mencetuskan suasana yang bercanggah dengan nilai-nilai murni yang menjadi asas pembinaan masyarakat beradab.

“Dalam kerangka Maqasid al-Shariah, setiap dasar dan tindakan perlu dinilai berdasarkan sejauh mana ia memelihara lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

“Hiburan yang melampau sehingga melalaikan, merangsang perilaku tidak bermoral atau membuka ruang kepada keruntuhan akhlak jelas bertentangan dengan tujuan-tujuan ini

“Oleh itu, sesuatu program hiburan tidak boleh dinilai hanya dari sudut manfaat ekonomi semata-mata, tetapi perlu ditimbang bersama kesan jangka panjang terhadap pembinaan insan dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pendekatan itu menuntut setiap bentuk hiburan dinilai bukan sahaja dari sudut keuntungan, tetapi juga kesannya terhadap pembinaan masyarakat beradab.

“Namun, persoalan asas yang perlu direnungi ialah bentuk pelancongan yang ingin kita tampilkan.

“Adakah kita mahu dikenali sebagai negara yang mempromosikan hiburan tanpa batas atau sebagai sebuah negara yang berjaya menggabungkan kemajuan dengan nilai serta kemeriahan dengan adab?

“Dalam konteks ini, identiti Malaysia sebagai negara yang berteraskan nilai agama dan budaya timur perlu sentiasa dipelihara agar tidak terhakis oleh arus globalisasi yang tidak terkawal,” ujarnya.

Beliau menambah, kebimbangan masyarakat terhadap implikasi negatif program sedemikian tidak boleh dipandang ringan.

“Dalam hal ini, semua pihak sama ada penganjur, pihak berkuasa mahupun masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing agar setiap usaha pembangunan tidak tersasar daripada landasan yang diredai Allah,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilaporkan membantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 kerana dikhuatiri boleh membawa kepada kemudaratan akhlak serta menjejaskan nilai masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast