KUALA LUMPUR – Kemelut politik di Negeri Sembilan dilihat bukan sekadar isu hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar sebaliknya menjadi ujian besar terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia juga mencerminkan kedudukan rapuh kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, kata Presiden Parti Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali.
Beliau yang dikenali Tok Him berpandangan, gerakan melibatkan 14 ADUN UMNO-BN bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya membawa isyarat tersusun yang memberi tekanan langsung kepada kepimpinan pusat parti itu.
Dakwanya, walaupun nama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan beberapa pemimpin negeri menjadi fokus, krisis sebenar dilihat menjangkau lebih jauh dengan menyentuh kedudukan Zahid serta hubungan UMNO dalam kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dilema utama kini bukan lagi soal sama ada Aminuddin mampu bertahan, tetapi sejauh mana Zahid masih mengawal UMNO ketika berdepan tekanan daripada akar umbi negeri sendiri.
“Situasi itu turut memperlihatkan pendirian UMNO pusat yang dilihat serba salah – antara menghormati keputusan ADUN dan dalam masa sama mengekalkan kestabilan kerajaan Perpaduan.
“Ini bukan bahasa parti yang dominan, sebaliknya mencerminkan kedudukan tersepit antara kepentingan parti dan kebergantungan kepada rakan gabungan.
“Zahid kini berdepan dilema besar jika menekan UMNO Negeri Sembilan, beliau dilihat lebih memihak kepada kerajaan pusat, manakala jika membiarkan krisis berlarutan, ia berisiko menggugat kestabilan kerajaan yang turut menjadi sandaran politiknya,” kata dalam kenyataan.
Pada masa sama, Ibrahim mendakwa, kedudukan Anwar juga dilihat tidak sepenuhnya selesa apabila pergolakan dalaman UMNO negeri mampu memberi kesan sehingga ke Putrajaya, sekaligus menimbulkan persoalan terhadap ketahanan kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menekankan krisis itu memperlihatkan kebergantungan politik yang ketara antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO, di mana kedua-dua pihak saling memerlukan untuk mengekalkan kuasa.
Dalam perkembangan sama, Ibrahim berkata, nama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat turut disebut sebagai faktor penting dalam dinamika krisis ini, memandangkan pengaruhnya di Negeri Sembilan.
“Dalam UMNO, ada kalanya kehadiran yang senyap sudah cukup memberi isyarat besar kepada kepimpinan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ibrahim berpandangan, penyelesaian terbaik adalah dengan mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya negeri (PRN).
Beliau mendakwa, sekiranya PRN diadakan, gabungan PH dan BN berisiko menerima penolakan besar daripada pengundi.
“Kesimpulannya, krisis di Negeri Sembilan kini dilihat sebagai cerminan lebih besar terhadap landskap politik negara, memperlihatkan pertembungan kepentingan antara kepimpinan parti, kestabilan kerajaan dan tekanan akar umbi yang semakin memuncak,” katanya beliau. – MalaysiaGazette
















