KUALA LUMPUR – Perlis GSA FC menjelaskan situasi sebenar yang menyebabkan pasukan itu hanya dapat menurunkan lapan orang pemain dalam perlawanan Liga A1 Semi-Pro malam tadi menentang Kelantan WTS FC.
Jelas kelab itu, pihaknya hanya dapat menurunkan jumlah pemain itu kerana beberapa pemain utama sedang mengalami kecederaan serius dan tidak dapat diturunkan.
Kata kelab itu, ada pemain yang sedang menjalani penggantungan akibat kad perlawanan dan beberapa pemain menghadapi komitmen kerja yang tidak dapat dielakkan.
“Keadaan ini adalah di luar kawalan pihak kelab dan kami memohon maaf kerana tidak dapat menurunkan pasukan yang lengkap.
“Kami menghormati keputusan rasmi pihak pengadil dan Liga A1 Semi-Pro namun kami juga ingin menyatakan bahawa kami bertekad untuk memperkuat pasukan dan kembali lebih mantap pada perlawanan seterusnya.
“Kami juga ingin merakamkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pemain dan pengurusan yang telah berusaha keras walaupun dalam keadaan sukar ini. Sokongan dan dedikasi anda semua adalah tulang belakang kelab ini. Terima kasih atas sokongan berterusan dari semua pihak,” katanya di Facebook kelab itu,
Malam tadi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan WTS FC diberi kemenangan percuma 3-0 selepas pasukan pelawat itu tidak mempunyai bilangan pemain yang mencukupi di atas padang.
Aksi terpaksa ditamatkan lebih awal selepas Perlis GSA FC beraksi dengan hanya lapan pemain tanpa pemain simpanan dan mengalami beberapa kecederaan dalam perlawanan pada minit ketujuh.
Selepas penilaian pengadil, perlawanan tidak dapat diteruskan dan keputusan rasmi ditetapkan Kelantan WTS FC menang 3-0 pada minit ke-16. – MalaysiaGazete
















