PUTRAJAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selesai memberikan keterangan lebih lapan jam berhubung siasatan pelaburan nasional bernilai RM1.1 bilion di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini yang berakhir pada pukul 6.40 petang tadi.
Bagaimanapun Rafizi memberitahu, beliau perlu kembali ke pejabat agensi penguatkuasaan itu jam 10 pagi esok untuk membantu melengkapkan siasatan SPRM berhubung skandal pelaburan tersebut.
“Saya kena datang esok balik pukul 10 pagi macam biasa lah. Saya beri kerjasama yang penuh dan proses itu (beri keterangan) berjalan dengan lancar.
“Cuma dia panjang lah kan. Saya ingat selesai dekat pukul 6.40 petang juga, iya lebih lapan jam.
“Kami masuk pun tadi lebih awal, 9.30 pagi. Saya ingat soal siasat bermula dalam pukul 10 pagi,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekaranagn Ibu Pejabat SPRM, lewat petang tadi.
Terdahulu Rafizi tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 9.28 pagi tadi bersama lima peguamnya dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Volvo berwarna biru.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan membabitkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc (ARM).
Ditanya tentang layanan terhadap beliau sepanjang lebih lapan jam disoal siasat, Rafizi berkata, pegawai SRPM memberi layanan yang baik.
“Rehat, solat lebih kurang 15 minit. Kita just rehat, solat, makan. Saya memang cuba diet. So, saya makan okey saja,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu juga tidak dapat mengesahkan sejauh mana beliau perlu memberi keterangan lebih dua hari selepas ini.
“Saya tak menolak kemungkinan mungkin akan beberapa hari lagi,” katanya.
Katanya lagi, beliau mengakui ketika diambil keterangan, barisan peguam tidak bersamanya dalam bilik siasatan.
“Cuma ikut akta SPRM, kalau sesuatu soalan ditanya, wajib jawab. Dia tak sama macam Kanun Keseksaan yang kita boleh cakap.
“Saya menggunakan hak saya untuk menjawab di mahkamah. Bawah akta SPRM, kalau dia tanya, memang kena jawab kan.
“Jadi, kalau kita tak ada apa-apa yang nak disembunyikan, fakta itu pun kita ingat dengan baik. Jadi tak guna juga ada peguam kat situ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















