KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian pelakon dan penyanyi veteran, Jalil Hamid hari ini.
Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham sebagai seniman yang banyak menyumbang kepada dunia seni tanah air, sekali gus pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada industri kreatif negara.
“Jasa dan legasinya akan terus dikenang. Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham.
“Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat yang sukar ini,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Jalil Hamid atau nama sebenarnya Abd Jalil Abd Hamid meninggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pukul 12.30 tengah hari tadi pada usia 69 tahun.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, kira-kira 5.50 petang tadi. – MalaysiaGazette
















