KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mempersoalkan kenapa ada pihak baru membuat laporan polis selepas sesuatu isu menjadi tular.
Menurutnya, terdapat pihak yang sebelum ini berdiam diri namun mula muncul dengan pelbagai kenyataan termasuk merujuk kepada undang-undang seperti Seksyen 499 Kanun Keseksaan serta mengancam tindakan undang-undang apabila isu berkenaan mula mendapat perhatian umum.
“Persoalannya mudah, kalau dari awal yakin berada di pihak yang benar, kenapa tunggu sampai isu meletup baru menggelabah,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Kenyataannya itu merujuk kepada penafian ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador hari ini berhubung dakwaan kononnya beliau terlibat dalam kegiatan mencuri dan pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit di luar negara termasuk di Turkiye dan Afrika.
Menurut Farhash, tuduhan yang disebarkan melalui beberapa laporan media itu adalah tidak benar, tidak berasas serta bersifat fitnah yang bertujuan mencemarkan reputasi dan integritinya.
Farhash turut menafikan dakwaan beliau telah menjadi warga Turkiye serta mempunyai akaun bank di negara berkenaan selain menegaskan tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau mendakwa dirinya diheret ke dalam isu tersebut atas motif tertentu termasuk kemungkinan berkait kepentingan politik.
Dalam pada itu, Albert menegaskan dirinya telah membuat laporan polis terlebih dahulu dan menuntut agar kebenaran serta keadilan ditegakkan berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
“Tak perlu penjelasan untuk kawal persepsi dan tak perlu drama untuk mengalihkan perhatian. Kita tunggu tindakan selanjutnya daripada pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Difitnah larikan berbilion ringgit, jadi warga Turkiye, Farhash buat laporan polis
















