Albert Tei.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei memaklumkan beliau bersama beberapa rakan akan hadir ke pejabat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Putrajaya petang ini bagi menuntut penjelasan berhubung tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang didakwa menyekat akaun TikTok miliknya tanpa notis.

Menurut Albert, akaun TikTok “Reformati Studio Albert Tei” yang diwujudkan sejak Januari lalu dan mempunyai lebih 72,000 pengikut itu didakwa disekat sepenuhnya sejak pagi semalam.

Beliau mendakwa tindakan tersebut berlaku selepas pihaknya memuat naik dua video berkaitan sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan laporan polis yang dibuat berhubung video tular melibatkan dakwaan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador.

Katanya, video pertama yang dimuat naik pada malam Selasa disekat kira-kira 12 jam kemudian sebelum video kedua dimuat naik pada petang Rabu menggunakan akaun sama.

“Semalam pagi saya sedar seluruh akaun TikTok saya telah disekat. Apa kesalahan yang telah saya lakukan? Jika ucapan saya berbau fitnah atau hasutan, siasat dan bawa saya ke muka pengadilan, bukan dengan sekatan, tekanan dan permainan belakang tabir,” katanya menerusi hantaran terbaru di Facebook hari ini.

Albert turut mempersoalkan tindakan MCMC yang didakwanya hanya menyekat akaunnya sedangkan kandungan sama turut disiarkan pelbagai platform media lain.

Dalam hantaran sama, beliau turut mendakwa institusi penguatkuasaan negara kini dipergunakan oleh pihak tertentu untuk menekan individu yang mendedahkan dakwaan salah laku melibatkan pemimpin berprofil tinggi.

Beliau turut mengaitkan pengalamannya sebagai pemberi maklumat berhubung dakwaan rasuah di Sabah sejak November 2024 serta tindakan undang-undang yang dihadapinya selepas membuat beberapa pendedahan berkaitan tokoh politik.

Sehubungan itu, beliau berkata kehadirannya ke pejabat Menteri Komunikasi hari ini adalah bagi menuntut penjelasan dan tanggungjawab berhubung sekatan terhadap akaun media sosial miliknya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast