KUALA LUMPUR – Sokongan kira-kira 10 Ahli Parlimen PKR menjadi penentu bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diluluskan kerana kerajaan memerlukan majoriti dua pertiga.
Salah seorang kumpulan ahli Parlimen itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tanpa sokongan kesemua mereka, jumlah majoriti yang diperlukan kerajaan tidak mencukupi untuk meluluskan RUU itu.
Ahli Parlimen Pandan itu juga memberitahu beliau tidak akan menyokong RUU itu sekiranya ia tidak memasukkan elemen pengawasan serta penyertaan Parlimen.
“RUU ini tidak akan berlaku tanpa sokongan kami kerana pendirian dibuat atas prinsip reformasi institusi dan akauntabiliti awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada forum sempena pelancaran pangkalan data Prosecutorial Accountability Watch (PAW) dan Laporan Penyelidikan Perbandingan Mengenai Akauntabiliti Pendakwaan oleh Projek SAMA di sini hari ini.
Rafizi mengulas cadangan RUU pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.
Turut menyertai forum itu ialah bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming dan pakar Parlimen, Maha Balakrishnan.
Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menyasarkan untuk memuktamadkan RUU berhubung perkara itu dalam masa terdekat sebelum dibentangkan menjelang mesyuarat terakhir pada 18 Mei ini.
Pada 3 Mac lalu, kerajaan memaklumkan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.
RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 23 Februari lalu, namun bacaan kali kedua tidak diteruskan ke sesi perbahasan.
Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, kuasa berkaitan pelantikan dan akauntabiliti institusi pendakwaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara institusi tertentu tanpa semak dan imbang Parlimen.
“Saya pernah menjadi Ketua Whip, jadi saya faham ada undian yang perlu mengikut pendirian parti.
“Tetapi ada juga undian melibatkan reformasi dan Ahli Parlimen perlu dibenarkan membuat keputusan berdasarkan hati nurani,” katanya.
Sementara itu selain Rafizi, kumpulan itu dianggotai Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Hassan Karim (Pasir Gudang).
Februari lalu, Rafizi memaklumkan 10 Ahli Parlimen PKR itu mungkin menolak atau mengambil pendirian berkecuali ketika proses pengundian RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 sekiranya semua syor penambahbaikan cadangan akta itu ditolak kerajaan. – MalaysiaGazette
















