KUALA LUMPUR – Parti Bumiptutera Perkasa Malaysia (Putra) menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memutuskan supaya isu penternakan babi di negeri itu dihentikan sepenuhnya.
Sambil menegaskan semua pihak perlu menghormati keputusan tersebut, Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali mengingatkan agar tidak ada lagi mana-mana individu cuba membuka semula isu itu melalui mana-mana pendekatan baharu.
Beliau menegaskan, titah berkenaan adalah keputusan muktamad dan tidak wajar dipersoalkan atau ditafsir semula oleh mana-mana pihak termasuk parti politik kerana ia melibatkan institusi Raja yang menjadi tonggak negara.
“Usaha untuk menghidupkan semula isu itu dengan istilah seperti “ladang moden” atau “teknologi tinggi” tidak mengubah dasar yang telah diputuskan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim turut menyatakan, kerajaan perlu lebih tegas dan konsisten dalam melaksanakan titah tersebut, selain mengingatkan agar tidak wujud sebarang percubaan untuk melemahkan keputusan berkenaan melalui tekanan politik atau tindakan lain.
Beliau berkata, Sultan Selangor sebelum ini turut mencadangkan penyelesaian melalui kaedah import, justeru tidak wajar isu penternakan itu terus dibangkitkan semula kerana boleh dianggap tidak menghormati titah berkenaan.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan supaya sebarang tindakan membawa isu berkenaan ke mahkamah perlu diteliti dengan berhati-hati kerana ia boleh menyentuh sensitiviti institusi Raja dan kedudukan baginda sebagai ketua agama Islam di negeri itu.
Ibrahim turut menegaskan, kerajaan perlu mengelakkan pendirian yang berubah-ubah dalam isu tersebut kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara serta menimbulkan persepsi tidak konsisten dalam dasar kerajaan.
Beliau juga menekankan bahawa isu itu bukan lagi sekadar soal penternakan, sebaliknya menjadi ujian kepada kemampuan kerajaan dalam mempertahankan institusi Raja serta memastikan keharmonian masyarakat majmuk terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















