Tertuduh, Muhammad Ilyas Mohd Mokhtar, 48, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kekasihnya, gadis berusia 14 tahun bulan lalu.

MELAKA – Padah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kekasihnya – gadis berusia 14 tahun, bulan lalu yang juga sebaya anaknya – seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Ilyas Mohd Mokhtar, 48, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun ketika kejadian dengan cara memasukkan tangan dan jari ke dalam kemaluan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan dari Batu 4 1/2, Kampung Bertam Malim ke Ayer Molek, dalam daerah Melaka Tengah di sini antara jam 9 malam hingga 10 malam 23 April lalu.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian tertuduh telah mengajak mangsa menemaninya mengambil geran kereta dan ketika dalam perjalanan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Mangsa bagaimanapun tidak berani memceritakan kejadian itu kepada ibunya namun memberitahu jirannya yang kemudian mengajak mangsa membuat laporan polis.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan yang berat kerana melibatkan mangsa yang baru berusia 14 tahun ketika kejadian.

Selain itu, hujahnya, tertuduh juga mengenali mangsa dan sepatutnya melindungi remaja itu, bukannya mengambil kesempatan terhadapnya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan masih mempunyai anak berusia 14 tahun untuk ditanggung.

Hakim Raja Noor Adilla kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bermula dari tarikh tangkap pada 28 April lalu serta satu sebatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast