Anggota polis mengiringi seorang lelaki yang akan didakwa berkait kes gaduh dengan melepaskan tembakan dan cubaan membunuh di pusat hiburan di Bangsar ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cubaan membunuh dalam kejadian tembakan di Jalan Telawi, Bangsar, pada bulan lalu.

Tertuduh, A.Lekeswaran, 27 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap pemilik besi buruk, B.Yoga Sudram, 41 tahun di hadapan pusat hiburan, Jalan Telawi, Bangsar dalam daerah Brickfields jam 3.15 pagi, pada 22 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun dan denda, jika menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha ketika prosiding membantah sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kesalahan dilakukan adalah sangat serius dan membawa hukuman berat.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius dan membawa hukuman sangat berat yang mana dapat memberikan insentif kepada dia untuk melarikan diri.

“Pihak pendakwaan juga bimbang mangsa akan diganggu dan buat masa ini, mangsa berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam keadaan tenat.

“Tertuduh juga dijangka dituduh di bawah Akta Senjata Api di Mahkamah Klang, esok. Oleh itu, saya mohon tiada sebarang jaminan ditawarkan,” katanya.

Anggota polis mengiringi seorang lelaki yang akan didakwa berkait kes gaduh dengan melepaskan tembakan dan cubaan membunuh di pusat hiburan di Bangsar ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 MEI 2026.

Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Izz Khan Mohd Nor Khan memohon jaminan dikurangkan bukan sebagai hukuman selain bersedia menerima sebarang syarat tambahan ditetapkan mahkamah,

“Menurut Seksyen 388 Kanun Prosdeur Jenayah bahawa mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.

“Oleh itu, tertuduh ingin berhujah bahawa jaminan patut diberikan dengan jumlah yang dikurangkan.

“Keluarga juga telah memberikan jaminan bahawa tertuduh tidak akan sesekali mendekati mangsa dalam kes ini sehinggalah kes terbabit selesai,” jelasnya.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak memberikan sebarang ikat jamin terhadap Lekeswaran dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Pada 24 April lalu, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi itu berpunca daripada pertelingkahan antara dua kumpulan di luar sebuah pusat hiburan.

“Seorang suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah kumpulan lawan manakala seorang lagi mengacukan pistol tiruan sebelum mereka melarikan diri.

“Akibat kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun mengalami kecederaan pada bahagian perut dan dirawat di hospital,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast