JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor memberkas 33 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini, semalam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi yang bermula pukul 11 pagi itu memfokuskan lokasi tumpuan warga asing seperti premis-premis perniagaan dan lokasi yang dipercayai menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Hasil serbuan di 10 lokasi termasuk kedai makan, premis cuci kereta, kedai gunting rambut serta rumah kedai yang dijadikan tempat penginapan dan tempat untuk berehat pekerja asing ini, kita berjaya menahan seramai 33 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Nepal, empat lelaki Indonesia, empat lelaki warga India, dua lelaki Bangladesh dan 15 lelaki Myanmar.
“Selain itu, turut ditahan dua wanita Indonesia dan lima wanita Myanmar yang mana kesemua 33 warga asing berusia antara 20 hingga 51 tahun ini dipercayai bekerja dan tinggal di premis diserbu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serbuan dilakukan adalah hasil risikan dan aduan awam berhubung kehadiran warga asing yang dipercayai menyalahgunakan pas serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Kita menjalankan pemeriksaan terhadap majikan, pekerja serta individu yang berada di lokasi terlibat bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.
Mohd Rusdi berkata, mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Sebanyak lapan keping borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Rusdi menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal di negara ini secara haram, termasuk majikan dan pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersubahat dengan PATI. – MalaysiaGazette
















