Harga daging tempatan di sesetengah tempat di negeri ini meningkat hingga mencecah RM36 sekilogram dan membebankan pengguna. - foto hiasan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Harga daging lembu tempatan mencatatkan penurunan kecil sebanyak 1.4 peratus minggu ini kepada RM35.88 sekilogram berbanding RM36.40 sebelum ini, namun beberapa bahan makanan lain termasuk ikan kembung, sawi dan santan kelapa segar menunjukkan peningkatan harga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkembangan itu direkodkan menerusi pemantauan harga bahan makanan terpilih bagi tempoh 4 hingga 6 Mei lalu.

Menurut beliau, harga ayam standard pula hampir tidak berubah iaitu sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram.

“Namun, beberapa item mencatatkan kenaikan. Harga ikan kembung meningkat 3.9 peratus daripada RM16.76 sekilogram kepada RM17.42 sekilogram.

“Udang putih meningkat 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram, sawi meningkat empat peratus kepada RM7.23 sekilogram, manakala santan kelapa segar meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram,” katanya ketika menyampaikan taklimat Krisis Bekalan Global secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan harga bahan makanan ketika ini masih berada dalam julat terkawal meskipun berdepan tekanan global terhadap kos logistik dan komoditi.

Katanya, statistik menunjukkan pergerakan harga makanan berada antara penurunan dua peratus hingga kenaikan 6.7 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan mengambil serius kebimbangan terhadap tekanan kos sara hidup yang mula dirasai sebahagian rakyat terutama di kawasan luar bandar.

“Perdana Menteri dan ahli-ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) melahirkan kerisauan bahawa terdapat golongan rakyat di sesetengah kawasan, mungkin terutamanya di luar bandar telah mula merasai tekanan harga barangan harian.

“Justeru, MTEN bersetuju supaya Ketua Setiausaha Negara dapat menyusul perkara ini bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian bagi menyelaras inisiatif usaha dan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran terutamanya golongan miskin dan rentan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast