Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bergambar beramai-ramai selepas majlis perasmian penutupan Dialog Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) edisi ke-5 (PSD V) di Sime Darby Convention Centre (KLGCC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 13 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) penugasan bagi mengelak berulangnya tragedi membabitkan kemalangan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada 13 Mei tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah penambahbaikan itu tertumpu khusus terhadap pengurusan penugasan konvoi berskala besar termasuk memastikan setiap anggota mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Kita telah membuat banyak penambahbaikan dan memperkemaskan SOP dalam melaksanakan penugasan terutama yang melibatkan konvoi besar.

“Saya percaya dengan peningkatan SOP dan peraturan yang ditetapkan, kita dapat mengurangkan kemalangan bukan sahaja ketika bertugas tetapi juga semasa berada di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan Program Polis PDRM Special Dialogue 2026 Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, pihaknya turut meningkatkan aspek logistik dan peralatan FRU dari semasa ke semasa termasuk melalui perolehan kenderaan baharu.

“Perkara itu memang kita tingkatkan dari semasa ke semasa dan pada masa sama kita menerima peruntukan daripada kerajaan untuk mempertingkatkan peralatan serta logistik termasuk kenderaan baharu.

“Saya percaya ia akan memberi semangat yang lebih kuat kepada semua petugas PDRM,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kebajikan keluarga mangsa yang terlibat turut diberi perhatian termasuk bantuan keperluan serta perlindungan insurans.

“Kita mengucapkan takziah pada keluarga yang terlibat. Setakat ini alhamdulillah, segala bantuan keperluan dan insurans telah dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Jika ada kekurangan, keluarga boleh berhubung dengan ketua polis negeri masing-masing,” jelasnya.

Pasukan bomba dan polis melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan yang mengorbankan sembilan mangsa termasuk anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) dalam nahas melibatkan sebuah trak polis dan lori muatan batu di Jalan Chikus – Sungai Lampan, Teluk Intan, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 13 MEI 2025.

Dalam tragedi 13 Mei 2025, kenderaan membawa 18 anggota FRU dirempuh lori muatan batu yang didakwa kerosakan sistem stereng di Jalan Chikus-Sungai Lampam.

Kemalangan itu berlaku ketika anggota terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.

Nahas itu mengakibatkan sembilan anggota FRU maut dan sembilan lagi cedera dalam kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast