KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) mempergiat usaha libat urus bersama peserta industri menjelang pelaksanaan proses kebenaran beroperasi di bawah Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025 bermula bulan depan.
Dalam kenyataan, pelaksanaan merangkumi pelesenan dan pendaftaran itu merupakan langkah penting dalam mewujudkan rangka kerja kawal selia lebih tersusun bagi penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank.
Sejajar itu juga, SKP akan menganjurkan sesi taklimat industri pada 18 dan 19 Mei 2026 ini bertujuan membantu industri kredit membuat persediaan awal sebelum pelaksanaan kebenaran beroperasi bermula Jun ini.
Jelasnya, sesi tersebut tidak tertakluk di bawah mana-mana kawal selia khusus supaya memahami keperluan ditetapkan serta memastikan tahap pematuhan berada pada landasan sewajarnya.
“Di bawah Fasa 1 pelaksanaan AKP, enam aktiviti perniagaan akan berada dalam skop kawal selia iaitu skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas, serta kaunseling dan pengurusan hutang.
“Peserta industri yang telah dikenal pasti menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut akan dihubungi secara terus oleh pihak SKP untuk menyertai sesi taklimat ini,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, fokus utama suruhanjaya itu adalah untuk memastikan semua peserta industri yang berkaitan memahami tanggungjawab di bawah AKP dan bersedia menghadapi pelaksanaan rangka kerja kawal selia baharu tersebut.
“Penglibatan awal dan secara berterusan bersama industri akan membantu memastikan proses peralihan berjalan dengan lancar serta menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti.
“SKP komited dalam membangunkan ekosistem yang berteraskan standard pelakuan yang tinggi, di samping memastikan rangka kerja kawal selia yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan mampan serta inovasi yang bertanggungjawab.” katanya.
Keperluan pelesenan dan pendaftaran di bawah AKP akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 dengan tempoh peralihan selama enam bulan diberikan kepada pemain industri untuk mengemukakan permohonan lesen atau pendaftaran yang berkaitan.
SKP turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi keperluan ditetapkan di bawah AKP boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pihak terbabit. – MalaysiaGazette
















