SHAH ALAM – Persatuan Kontraktor Kelas F (PERKOBF) Malaysia merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan pelaksanaan kenaikan gred secara automatik daripada G1 kepada G2 dalam sistem dalam talian Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Presidennya, Tukiman Radion berkata, peralihan gred tersebut seharusnya dilakukan secara sukarela tanpa sebarang bentuk paksaan, memandangkan ia melibatkan kriteria teknikal yang sukar dipenuhi oleh golongan kontraktor veteran.
“Ramai ahli persatuan yang terdiri dalam kalangan kontraktor lama menghadapi kesukaran untuk mengendalikan sistem Teknologi Maklumat (IT) yang semakin kompleks bagi mengemas kini data perniagaan mereka.
“Lebih meruncing, kenaikan gred ke G2 menuntut peningkatan modal berbayar yang memerlukan suntikan kewangan atau pinjaman bank.
“Pemberi pinjaman pula enggan meluluskan pembiayaan kepada kontraktor berusia atas faktor risiko umur,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tukiman juga merayu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan agar mengambil inisiatif khusus untuk membela nasib kontraktor kecil Bumiputera.
“Segmen kontraktor G1 atau Kelas F ini merupakan punca rezeki utama bagi ribuan keluarga Melayu dan Bumiputera di seluruh negara.
“Situasi industri semasa pula dilihat semakin mencabar, malah lebih 1,000 kontraktor Kelas F memilih untuk ‘pencen awal’ sejak lima tahun lalu kerana tidak mampu menampung kos bahan mentah yang melambung tinggi.
“Ada dalam kalangan ahli yang sudah lebih tiga bulan tidak mendapat sebarang kerja pembinaan, sekali gus mengancam kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.
Selain itu, Tukiman juga mendedahkan kesukaran kontraktor kecil untuk mendapatkan tender di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ekoran dominasi syarikat-syarikat konsesi gergasi.
“Peluang kerja di bawah PBT semakin terhad kerana banyak projek dikuasai oleh gabungan syarikat konsesi. Walaupun kontraktor kecil telah membida berkali-kali, peluang tetap tipis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















