PUTRAJAYA – Pemohonan kemasukan lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mula dibuka 30 Jun ini.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman, permohonan berkenaan dibuka di peringkat universiti terlebih dahulu sebelum ia dimulakan menerusi sistem UPUOnline, tahun depan.
“Bagi mengikut ketetapan seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri, maka kita semua di peringkat universiti sudah beberapa kali mengadakan libat urus dan insya-Allah kita akan membuka permohonan secara terus kepada universiti yang menawarkan program-program terbabit,” katanya ketika sidang media khas Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan Di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke IPTA.
Terdahulu beliau menjelaskan, selain perlu memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) syarat asas yang menjadi syarat asas penting kemasukan calon dalam aliran di luar sistem pendidikan kebangsaan adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan dari institusi masing-masing.
Katanya, semua permohonan kemasukan ke IPT akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat universiti.
“Dan kepentingan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah adalah sangat diletakkan sebagai asas yang paling tinggi kerana ia merupakan asas kenegaraan dan tiada kompromi kepada kedua-dua subjek tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, lepasan tahfiz atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu mengambil sijil penuh SPM tanpa kompromi.
“Banyak di luar sana yang saya kira mungkin keliru sedikit.
“Sebenarnya mereka yang mengambil sijil penuh dan ada dalam kalangan aliran agama, tahfiz, calon aliran UEC atau mengambil SPM penuh, mereka ini boleh memohon mana-mana program tertakluk kepada keputusan mereka.
“Tidak ada kompromi, tidak ada diskriminasi, tidak ada bias (berat sebelah). Mereka memohon dalam UPUOnline berdasarkan kepada merit keputusan SPM. Ini yang dipraktikan selama ini, bertahun-tahun.
“Jadi tidak ada isu, saya minta media bantu kita memahamkan pihak-pihak yang lain bahawa memang tidak ada kompromi. Mereka boleh masuk program kritikal, program yang mereka minat masih tertakluk dengan keputusan SPM mereka,” jelasnya.
Menegaskan keputusan KPT itu bukan tindakan memberi pengiktirafan kepada lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan masuk ke IPTA, sebaliknya Azlina menegaskan, kementerian itu membuka laluan supaya dasar pendidikan kebangsaan iaitu asas Bahasa Melayu dan Sejarah di dalam silibus SPM menjadi keutamaan.
“Jika sebelum ini pelajar tahfiz dan UEC tidak mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah, tetapi dengan laluan dibuka ini, kita harapkan boleh berjaya menarik lebih ramai lagi untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Dasar Pendidikan Negara dan juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
“Bolehlah kita sama-sama menyokong kepada perkara yang memberi manfaa kepada pembangunan negara ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















