PUTRAJAYA – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing memaklumkan, beliau telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya selama dua hari berturut-turut bagi memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, beliau hadir semalam dan hari ini bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat pada Rabu lalu.
Albert berkata, pihak polis telah mengemukakan sebanyak 75 soalan penting dan beliau telah menjawab kesemua soalan tersebut dalam dokumen setebal 21 muka surat.
“Berdasarkan soalan yang ditanya, saya perasan pihak polis mengambil serius terhadap kes ini. Saya amat menghargai usaha mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan, kini sedang menunggu tindakan lanjut pihak berkuasa termasuk bila Azam akan dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada Rabu lalu, Albert Tei telah membuat laporan polis di IPD berkenaan berhubung perkara tersebut.
Beliau berkata, semua dokumen yang dimiliki akan diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk terhadap Azam. – MalaysiaGazette
















