KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Bezza yang memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sejauh 3.5 kilometer di Persiaran Kota, Klang, akan didakwa Isnin ini, 18 Mei.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey berkata, suspek berusia 30-an itu dituduh di Mahkamah Klang jam 9 pagi.
“Suspek akan dituduh Isnin ini,” katanya secara ringkas hari ini.
Semalam media melaporkan, tempoh reman terhadap lelaki terbabit disambung empat hari lagi selepas remannya berakhir pada 15 Mei.
Terdahulu, seorang penunggang motosikal tercampak selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu oleh lelaki dalam keadaan mabuk dan melawan arus sejauh 3.5 kilometer di Persiaran Kota.
Jit Huey dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam pada 13 Mei lalu itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan serta kaki kanan akibat tercampak.
Katanya, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 30-an sedang bergerak dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam.
“Hasil ujian saringan awal mendapati, pemandu Bezza itu positif alkohol dan suspek telah ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – MalaysiaGazette
















