KUALA LUMPUR – MCA menyifatkan pengumuman terbaharu kerajaan berhubung laluan kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam masih jauh daripada janji “pengiktirafan penuh” yang pernah dibawa DAP dan Pakatan Harapan sebelum ini.
Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng berkata, pengumuman tersebut sekadar langkah separuh jalan dan tidak boleh dianggap sebagai satu kejayaan besar seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu.
Menurut beliau, kerajaan sendiri mengakui bahawa UEC masih belum diiktiraf setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi kemasukan ke semua kursus di universiti awam.
“Tiada mana-mana pihak seharusnya memutarbelit atau membesar-besarkan pengumuman ini sebagai satu ‘kejayaan bersejarah’ sedangkan realitinya pengiktirafan penuh UEC masih belum berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan pendirian menteri-menteri yang mendakwa mewakili masyarakat Cina kerana menerima keputusan tersebut dalam mesyuarat Kabinet.
Katanya, golongan berkenaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa kerajaan hanya memperkenalkan mekanisme terhad berhubung laluan kemasukan pemegang UEC ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Dalam pada itu, Tan berkata, infografik dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi yang menggunakan frasa “Laluan 1: Ada SPM Penuh” juga mengelirukan.
Jelasnya, pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang memiliki sijil SPM penuh sememangnya telah lama layak memohon program diploma di universiti awam.
“SPM sahaja tidak pernah menjamin kemasukan terus ke program ijazah sarjana muda kerana pemohon masih perlu memenuhi syarat kemasukan universiti dan sistem merit sedia ada.
“Justeru, dakwaan bahawa ‘UEC + SPM penuh membolehkan permohonan ke semua kursus’ bukanlah satu pembukaan baharu,” katanya.
Tambah beliau, pengumuman kerajaan itu hanya membungkus semula sistem sedia ada dan tidak memenuhi janji pengiktirafan penuh UEC yang sering dilaungkan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Tan berkata, syarat mewajibkan pemegang UEC menduduki peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah kendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia sebelum dibenarkan memohon hanya empat kursus berkaitan bahasa Cina turut mengecewakan ramai pelajar.
Empat program tersebut ialah Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Cina dengan Kepujian, Bahasa dan Linguistik Cina, Pengajian Cina serta Pendidikan Cina.
“DAP sebelum ini menjanjikan pengiktirafan UEC yang adil dan bersifat institusi, namun hari ini kerajaan hanya membuka permohonan kepada empat kursus sahaja.
“Ini jelas jauh tersasar daripada tuntutan pengiktirafan penuh UEC yang pernah diperjuangkan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, MCA menggesa menteri-menteri DAP dalam Kabinet supaya mempertahankan komitmen mereka dan membawa semula isu pengiktirafan penuh UEC dalam mesyuarat Kabinet akan datang. -MalaysiaGazetteTan Ta
















