KULAI – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan sepasang kekasih berkhalwat yang menyewa selama tiga jam di sebuah bilik hotel di daerah ini, semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan tersebut dilakukan pukul 3 petang selepas pasangan itu yang bekerja pada hari tersebut baru satu jam menyewa.
“Lelaki dan wanita tempatan berusia 20-an itu didapati menyewa bilik berkenaan hanya selama tiga jam sementara lelaki itu yang sedang bekerja keluar untuk makan tengah hari dan sebelum wanita itu masuk kerja pada pukul 3 petang.
“Pasangan ini ditahan selepas pemeriksaan rambang dan berkala di sebuah hotel di Kulai,” jelas kenyataan berkenaan.
Menurut JAINJ, sebelum itu sebaik tiba di bilik hotel berkenaan penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan t-shirt.
“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan.
“Lelaki itu kelihatan seperti seorang diri sahaja dalam bilik, namun penguat kuasa dapati pintu tandas bilik itu bertutup dan berkunci dari dalam.
“Penguat kuasa tanya lelaki itu siapa di dalam dan dia kata kawan, tetapi tidak beritahu lelaki atau perempuan.
“Penguat kuasa mengetuk pintu tandas dan dua minit kemudian keluar seorang wanita yang berpakaian seluar panjang dan t-shirt,” katanya.
Tambahnya, hasil soal siasat, pasangan berkenaan bukan suami isteri dan mereka bekerja di Kulai.
“Mereka sewa bilik ini selama tiga jam sejak pukul 11 pagi. Lelaki bekerja waktu pagi dan keluar awal untuk makan tengah hari. Wanita pula masuk kerja pukul 3 petang.
“Pasangan ini berkenalan dalam enam bulan lalu di tempat kerja wanita. Mereka ada perancangan untuk bernikah, tetapi belum ada persiapan lagi kerana masing-masing baharu bekerja,” ujar JAINJ.
JAINJ memberitahu, ketika ditanya apa yang mereka lakukan di hotel berkenaan, pasangan itu memberitahu hanya tumpang mandi sementara mahu keluar makan di sebuah pasar raya berhampiran.
Pasangan itu kemudian ditahan kerana berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah. – MalaysiaGazette
















