Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2026.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran supaya tiada pihak cuba menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan menerusi ugutan politik atau percubaan pengkhianatan sebaliknya menyerahkan semula mandat kepada rakyat jika mahu mencabar kerajaan sedia ada.

Ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Persada Johor di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan memilih pendekatan berhemah dan rundingan tertutup dalam menangani perbezaan pandangan dalam gabungan namun ia tidak harus disalah tafsir sebagai tanda kelemahan politik.

“Kita pilih jalan bil hikmah, berbincang baik-baik dan tidak menyerang secara terbuka. Tetapi jangan anggap pendekatan ini lemah,” katanya.

Menurut Anwar, sepanjang lebih tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani, tiada usaha dilakukan untuk menghasut atau mengkhianati rakan dalam gabungan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, jika benar terdapat desakan atau ancaman untuk menjatuhkan kerajaan di peringkat negeri, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya.

“Kalau nak sangat, kita kembali kepada rakyat. Kita sedia hadapi pilihan raya bermula di Johor, Negeri Sembilan dan kalau perlu seluruh negara,” katanya di hadapan lebih 10,000 perwakilan PH hadir hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2026.

Anwar berkata, kestabilan politik perlu dipertahankan kerana kerajaan ketika ini sedang memberi tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi, pelaburan dan reformasi institusi.

Beliau turut menegaskan, hubungan dengan rakan gabungan termasuk Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus dipelihara atas semangat Perlembagaan dan tanggungjawab mentadbir negara.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga tidak pernah mendiskriminasi negeri pembangkang dalam soal pembangunan dan bantuan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, dunia Islam dan rantau ASEAN kini berdepan cabaran geopolitik yang semakin membimbangkan termasuk konflik Palestin serta persaingan kuasa besar dunia.

Katanya, Malaysia perlu terus mempertahankan perpaduan dalaman supaya negara kekal stabil dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen kaum dan agama demi kepentingan politik sempit.

“Pendidikan Islam tidak sepatutnya mengajar kebencian dan permusuhan antara kaum serta agama,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan Madani akan terus mempertahankan dasar perpaduan nasional termasuk memelihara kedudukan Bahasa Melayu, sejarah negara dan hak semua rakyat tanpa menindas mana-mana kaum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. kepala hotak ko… dulu ko lagi teruk ganggu gugat kestabilan dan keamanan malaysia
    buat rusuhan bakar kereta polis.. buat himpunan bersih, sekarang lagi teruk.. uec pun da blh msuk universiti awam

Comments are closed.