Gambar file.

GEORGE TOWN – Sistem autogate baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) merekodkan sebanyak 722,151 pergerakan penumpang sejak diperkenalkan sekali gus mencerminkan penerimaan positif dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, jumlah itu direkodkan bagi tempoh 31 Disember 2025 hingga 26 April lalu berdasarkan data Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Menurutnya, pelaksanaan sistem berkenaan bersama Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) berjaya meningkatkan kecekapan proses pemeriksaan imigresen di LTAPP selain mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu penumpang di pintu masuk serta keluar antarabangsa.

“Pemasangan sistem autogate baharu di LTAPP bermula pada Disember 2025 sebelum beroperasi sepenuhnya pada awal Februari tahun ini selepas melalui proses ujian dan penentukuran.

“Pada masa sama, sistem MyNIISe pula dilancarkan secara rasmi pada 1 Mac lalu dan kedua-dua sistem ini membantu melancarkan proses pemeriksaan imigresen serta meningkatkan pengalaman penumpang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Wong, ketika ini sistem autogate membolehkan pelancong dari 73 negara menggunakan pelepasan automatik bagi urusan keluar negara manakala pelancong dari 65 negara pula boleh menggunakan sistem sama untuk memasuki Malaysia.

Beliau berkata, jumlah kemudahan autogate di LTAPP juga dirancang ditambah kepada 12 lorong ketibaan dan 12 lorong pelepasan tahun ini bagi menampung peningkatan jumlah penumpang antarabangsa.

Katanya, melalui aplikasi MyNIISe dan sistem autogate yang dinaik taraf, penumpang kini boleh menggunakan kod QR untuk urusan pelepasan imigresen tanpa perlu beratur panjang di kaunter pemeriksaan biasa.

“Selain memudahkan proses imigresen, aplikasi MyNIISe turut membolehkan pengguna mengakses rekod pergerakan perjalanan mereka secara digital dengan lebih mudah dan cekap.

“Penumpang kini mempunyai tiga pilihan utama untuk urusan imigresen iaitu menggunakan pasport di autogate, menggunakan kod QR menerusi aplikasi MyNIISe di autogate atau melalui pemeriksaan manual di kaunter imigresen.

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan AKPS bagi menambah baik proses berkaitan imigresen di LTAPP demi mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa,” katanya. – MalaysaiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast