Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. MUHAIMIN MARWAN, 14 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengenal pasti lima subsektor yang terjejas susulan impak krisis tenaga dan gangguan bekalan global terhadap industri pembuatan negara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, subsektor yang terkesan membabitkan automotif dan komponen, makanan dan minuman, plastik dan pembungkusan, kimia dan petrokimia serta elektrikal dan elektronik.

“MTEN hari ini telah mendengar pembentangan daripada Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan tinjauan FFM melibatkan 225 syarikat daripada kira-kira 4,200 ahli merangkumi 29 subsektor pembuatan mendapati tekanan yang dihadapi industri adalah menyeluruh.

“Antara isu utama dibangkitkan ialah bekalan bahan mentah, peningkatan kos logistik, tekanan aliran tunai, daya saing eksport, perancangan pelaburan serta keperluan mengekalkan guna tenaga,” katanya dalam Taklimat Krisis Tenaga Global di Putrajaya hari ini.

Tambah beliau, secara keseluruhan dapatan itu menunjukkan tekanan berkenaan memberi kesan berangkai kepada kos pengeluaran, kelancaran operasi, penghantaran eksport dan keupayaan syarikat mengekalkan momentum pertumbuhan.

Mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan telah menyediakan sokongan pembiayaan bersasar termasuk SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF) oleh Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion.

Langkah tersebut, katanya, bagi membantu kumpulan itu mengekalkan aliran tunai dan memastikan kesinambungan operasi.

“Kerajaan turut menyediakan sokongan jaminan pembiayaan kepada PKS melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) merentas sektor ekonomi termasuk sektor pembuatan tertakluk kepada kelayakan skim,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast