M Partiben

KUALA LUMPUR – Seorang peguam, M Partiben menggesa bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menjelaskan segera sama ada beliau mempertikai kuasa Sultan selepas mengeluarkan kenyataan bahawa dirinya akan ‘patuh Perlembagaan, bukan titah semata-mata’.

Menurut beliau, kenyataan tersebut dibimbangi boleh mengelirukan rakyat terhadap konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara ini.

Katanya, kenyataan pemimpin DAP itu seolah-olah memberi gambaran bahawa Institusi Raja terpisah daripada Perlembagaan Persekutuan sedangkan kuasa Sultan sendiri diperuntukkan di bawah Perlembagaan negara.

“Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan memang menetapkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Namun kuasa Sultan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan itu sendiri adalah sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Partiben berkata, kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam dan Ketua Negeri turut termaktub secara jelas menerusi Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Selangor.

Tegasnya, dalam sistem Raja Berperlembagaan, menghormati titah dan nasihat Sultan tidak bermaksud menolak Perlembagaan seperti yang mungkin difahami menerusi kenyataan berkenaan.

“Tony Pua perlu menjelaskan segera sama ada beliau mempertikai kuasa perlembagaan Sultan.

“Kekeliruan seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Raja yang menjadi tunggak kestabilan dan keharmonian negara,” ujarnya.

Semalam, Tony Pua dilaporkan berkata beliau akan “patuh Perlembagaan, bukan titah semata-mata” ketika mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu melibatkan beberapa pemimpin DAP.

Tony Pua turut menegaskan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan rakyat tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh menggubal semua aspek kehidupan rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast