Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar.

KUALA LUMPUR – Polis telah membuka kertas siastaan berhubung kandungan yang memfitnah dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi akaun TikTok palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan perkara itu susulan kandungan yang dikesan Pejabat Media dan Komuniasi Keluarga Diraja Johor ‘Royal Press Office’.

“Ya, kita telah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan lanjut menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kita menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Kumar, siasatan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan perkhidmatan atau kemudahan rangkaian.

Tegas beliau, semua pihak perlu sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang hantaran menerusi media sosial terutama berkaitan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja.

“JSJ tidak akan berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Semalam, Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu bagi memfitnah serta menghina Sultan Ibrahim.

Royal Press Office memaklumkan akaun berkenaan memakai nama “Sultan Ibrahim Ismail” dan dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.

Tambah kenyataan itu, perbuatan berkenaan adalah satu penghinaan yang amat serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja.

Sehubungan itu, Royal Press Office amat berharap Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast