KUALA LUMPUR – Restoran popular India Gate mencipta sejarah tersendiri apabila muncul restoran fine dining India pertama di negara ini yang menerima pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengasas India Gate, Saravanan Subramaniam berkata, pengiktirafan itu menjadi satu pencapaian besar selepas hampir lapan tahun beroperasi dalam industri makanan dan minuman tempatan.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau berkata, pensijilan halal tersebut bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan malah membuktikan makanan India premium mampu memenuhi standard halal yang ketat tanpa menjejaskan keaslian rasa dan identiti masakan.
“Ini satu pencapaian yang sangat bermakna buat kami. Kami mahu pelanggan daripada semua lapisan masyarakat menikmati hidangan India dengan penuh yakin dan selesa.
“Pensijilan halal ini juga membuktikan kami sangat menitikberatkan soal kebersihan, kualiti serta integriti dalam setiap hidangan yang disediakan,” katanya.
India Gate mempunyai 14 cawangan termasuk di Changkat Bukit Bintang di sini.

Ditubuhkan pada 2017, India Gate kini mempunyai 14 cawangan di seluruh negara dengan menawarkan 147 jenis hidangan merangkumi pelbagai tradisi masakan India termasuk India Utara, India Selatan, Mughal, tandoor dan Chettinad.
Selain beriani yang menjadi antara menu paling popular, restoran itu turut menyediakan pelbagai pilihan makanan vegetarian dan bukan vegetarian yang dimasak segar setiap hari.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, setiap hidangan beriani India Gate disediakan di dapur berpusat yang memiliki sijil halal sebelum diedarkan ke semua cawangan restoran tersebut.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap proses penyediaan makanan mematuhi piawaian halal secara konsisten.

“Setiap menu beriani kami dimasak di dapur berpusat yang mempunyai sijil halal sebelum dihantar ke semua cawangan. Kami mahu memastikan pelanggan menerima makanan yang bukan sahaja sedap, tetapi diyakini bersih dan halal,” katanya.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, India Gate semakin dikenali dalam kalangan pelanggan pelbagai kaum termasuk pelancong asing yang mahu menikmati pengalaman fine dining bercirikan masakan India moden.
Pensijilan halal JAKIM dijangka membuka lebih banyak peluang kepada India Gate untuk memperluaskan jenamanya dalam industri restoran premium tempatan. – MalaysiaGazette

















