SEPANG – Detik cemas dipijak, digari dan diperlakukan secara kasar oleh rejim Israel tidak sedikit pun mematahkan semangat delegasi misi kemanusiaan Global Sumud Flotila 2.0 (GSF2.0) untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Seramai 28 rakyat Malaysia yang menyertai misi berkenaan selamat tiba di tanah air hari ini selepas melalui pengalaman getir ketika kapal mereka dipintas pihak berkuasa Israel ketika cuba menghampiri perairan Palestin.
Salah seorang delegasi, S. Patmanathan berkata, mereka sememangnya sudah menjangkakan risiko dipintas sejak awal pelayaran memandangkan beberapa misi bantuan kemanusiaan sebelum ini turut menerima nasib sama.
Menurut beliau, ancaman dan tindakan agresif rejim Zionis bukan lagi sesuatu yang mengejutkan, namun ia tidak pernah menghalang usaha solidariti antarabangsa untuk membantu rakyat Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan.
Menceritakan detik ditahan, Patmanathan mendakwa delegasi diarahkan melutut sebelum tangan mereka digari dari belakang sambil kepala ditekan ke lantai oleh rejim zionis Israel.
“Dia (askar rejim Zionis) gari belakang dan arah kami melutut, daripada dahi ke lantai. Jadi dia pijak sampai kita meniarap dengan tangan di belakang.
“Dia suruh tunduk lepas itu tumbuk tulang rusuk,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Tambah beliau, delegasi turut menerima layanan kasar sepanjang tempoh tahanan termasuk disembur air dan diperlakukan secara keras, namun pengalaman itu hanya menambahkan lagi keazaman mereka untuk terus membawa suara rakyat Palestin ke peringkat antarabangsa.
Katanya, penderitaan yang dialami secara langsung itu membuatkan beliau lebih memahami kesengsaraan yang ditanggung rakyat Gaza yang berdepan kekejaman berterusan sejak sekian lama.
“Pengalaman ini tidak melemahkan saya. Malah ia menguatkan lagi semangat untuk terus bersama perjuangan Palestin.
“Saya akan teruskan misi seterusnya, walaupun Sumud Flotila 3.0, 4.0 atau 5.0, sehinggalah bumi Palestin dibebaskan,” katanya. – MalaysiaGazette
















