MUKAH – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah pondok di Jalan Mukah-Selangau berhampiran laluan jejambat Selangau semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dijalankan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah hasil risikan.
Menurut beliau, suspek berusia 22 tahun cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis namun berjaya ditahan di bahagian belakang pondok berkenaan.
“Semasa proses tangkapan, kekerasan minimum terpaksa digunakan selepas suspek bertindak agresif.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan 22 keratan tiub straw lutsinar dan 25 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan dalam sebuah beg silang hitam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jumlah rampasan dianggarkan seberat 63.46 gram dengan nilai kira-kira RM3,200.
Katanya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.
Menurut beliau, suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit direman tujuh hari sehingga 2 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















