Sebanyak 120 kambing dan 23 lembu dikorbankan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam

KOTA TINGGI – Program Mega Korban 2026 mencatat sejarah tersendiri apabila dilaksanakan secara serentak di 10 negara dengan sasaran keseluruhan 4500 ekor haiwan korban dalam tempoh satu hari.

Di Malaysia, Mega Korban 2026 itu menyaksikan sebanyak 123 ekor haiwan melibatkan lembu dan kambing disembelih di pekarangan Masjid Al-Syifa, Bandar Penawar di sini semalam.

Menurut penganjur, Datuk Siti Alawiyah Mohd Zainal, pelaksanaan korban berskala besar itu bukan sekadar ibadah tahunan sebaliknya membawa mesej lebih luas sebagai simbol penyatuan umah di peringkat antarabangsa.

“Sebahagian daging korban dari Australia akan diproses dalam bentuk tin sebelum dihantar ke kawasan terjejas seperti Palestin, Syria dan Jordan bagi membantu pelarian,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, usaha penghantaran bantuan itu turut berdepan cabaran logistik khususnya apabila melibatkan kawasan konflik seperti Gaza.

“Kami sedar cabaran untuk memasuki Gaza amat besar. Namun, jika tidak dapat menembusi sempadan, bantuan tetap disalurkan kepada pelarian Palestin di negara jiran seperti Syria dan Jordan.

Sukarelawan melapah daging lembu dalam program Mega Korban 2026 di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam

Dalam perkembangan berkaitan, pelaksanaan korban di beberapa negara lain turut mencatat penyertaan besar antaranya Singapura dengan 1,100 ekor haiwan manakala Medan, Indonesia merekodkan 1,700 ekor haiwan disembelih secara serentak.

Sementara itu, di Bandar Penawar, sebanyak 120 kambing dan 23 lembu dikorbankan dengan penglibatan sukarelawan serta penyumbang dari dalam dan luar negara.

Siti Alawiyah berkata, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan asnaf malah menjadi platform memperkukuh hubungan masyarakat setempat.

“Ramai yang menantikan program seperti ini kerana tidak semua berpeluang menikmati daging sepanjang tahun. Ibadah korban menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan serta memahami keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, semangat gotong-royong yang ditunjukkan sepanjang pelaksanaan program itu mencerminkan nilai kebersamaan yang menjadi asas kepada kejayaan inisiatif korban berskala antarabangsa tersebut.

Dengan pelaksanaan bersepadu ini, program berkenaan bukan sahaja mencapai sasaran ibadah korban, malah mengangkatnya sebagai simbol solidariti umat Islam di peringkat global.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast