Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menyahut cabaran Pemuda DAP (DAPSY) supaya Parlimen dibubarkan dengan mencabar parti itu menarik diri daripada kerajaan Negeri Melaka serta memutuskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) di Perak dan Pahang.

Dr Akmal berkata, DAPSY tidak sepatutnya menggelar UMNO sebagai ‘kacang lupakan kulit’ susulan pendirian UMNO Johor yang mahu bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menurutnya, DAP juga perlu mengakui hakikat kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak akan wujud tanpa sokongan BN.

“DAPSY mungkin terlupa bahawa tanpa sokongan BN, belum tentu mereka mampu membentuk kerajaan hari ini. Jadi jangan sembang soal ‘kacang lupakan kulit’ kerana semua pihak tahu siapa yang membantu memastikan kestabilan politik selepas PRU lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan DAPSY yang mendakwa UMNO sebagai ‘kacang lupakan kulit’ dan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen sekiranya UMNO Johor memilih untuk bertanding secara solo pada PRN Johor.

Dr Akmal berkata, jika DAPSY benar-benar mahu menguji kekuatan politik, mereka sepatutnya mendesak pemimpin DAP menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN.

“Bukan setakat bubar Parlimen sahaja malah tarik juga sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN hari ini.

“Tarik sokongan di Perak, tarik sokongan di Pahang. Kita lawan secara gentleman dan serah kembali mandat kepada rakyat,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut mencabar DAP keluar daripada kerajaan negeri Melaka sebelum bercakap soal keberanian dan prinsip politik.

“Kita cabar pemimpin DAP untuk keluar dari kerajaan negeri Melaka tetapi sehingga hari ini pun tidak berani. Lagi mahu bercakap soal menguji kekuatan?” soalnya sinis.

Dr Akmal turut mendakwa beliau sendiri pernah menghantar dua surat peletakan jawatan sebagai bukti mempertahankan pendirian, berbeza dengan pihak yang menurutnya hanya lantang mengeluarkan kenyataan.

Mengulas isu UMNO Johor mahu bergerak solo, Dr Akmal menegaskan, tiada sebarang perjanjian yang mewajibkan BN dan Pakatan Harapan (PH) menghadapi pilihan raya secara bersama.

Katanya, cadangan supaya BN bertanding sendiri telah lama disuarakan Pemuda UMNO dan kini mula diterjemahkan di Johor.

“Tak perlulah meroyan apabila UMNO Johor bercakap soal bergerak solo. Sejak awal tidak pernah wujud sebarang perjanjian bahawa BN wajib menghadapi PRN atau PRU bersama PH.

“Itulah cadangan Pemuda kepada pemimpin kami sejak tahun lalu dan pemimpin kami mendengar suara kami,” ujarnya.

Dr Akmal turut mengingatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15 dibuat demi memastikan kestabilan negara apabila tiada gabungan memperoleh majoriti mudah, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

Beliau pada masa sama mendakwa terdapat pihak dalam DAP yang sebelum ini mempertikaikan keperluan mematuhi titah institusi diraja selepas memperoleh kuasa.

“Jadi DAPSY jangan nampak terlalu gelabah apabila UMNO mahu bergerak solo kerana itu hak kami untuk menentukan hala tuju parti,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast