Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pembinaan hospital secara menegak atau “vertical hospital” merupakan satu pendekatan realistik yang perlu dipertimbangkan kerajaan khususnya di kawasan bandar padat penduduk dan mempunyai kekangan tanah.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan perlu memastikan sesuatu kawasan itu benar-benar memerlukan kemudahan kesihatan tersebut.

“Yang penting ialah membina hospital. Kalau tanah tidak mencukupi, maka kita mungkin terpaksa membina secara menegak.

“Itu lebih baik daripada membina hospital di lokasi yang jauh daripada kawasan yang benar-benar memerlukan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Rabu lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan Hospital Petaling Jaya bakal dibina dengan konsep vertikal dan mampu menampung kapasiti 500 katil.

Amirudin berkata, konsep itu sudah dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan mengoptimumkan kos bagi Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebuah kompleks sukan moden di tapak seluas enam hektar, X Park PJ South di Taman Medan dikenal pasti sebagai tapak pembinaan hospital awam bagi keperluan penduduk Petaling Jaya, Subang dan Puchong.

Bagaimanapun, Iskandar menegaskan pendekatan pembangunan hospital secara menegak tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan aspek keperluan teknikal, keselesaan pesakit serta spesifikasi penting sesebuah fasiliti kesihatan.

“Keperluan dan spesifikasi hospital tidak boleh diabaikan. Soal kapasiti, akses kecemasan, sistem logistik, parkir, keselamatan dan keselesaan pesakit mesti terus menjadi keutamaan,” jelas beliau.

Iskandar berkata, pembangunan secara vertikal merupakan satu realiti yang semakin tidak dapat dielakkan di bandar-bandar utama akibat keterbatasan tanah serta peningkatan kepadatan penduduk.

Menurutnya, konsep tersebut bukan sahaja sesuai untuk hospital, malah mungkin akan diperluaskan kepada sektor lain pada masa hadapan termasuk pendidikan.

“Di satu hari nanti kita mungkin akan membina sekolah secara ‘vertical’. Ini adalah realiti yang perlu diterima dalam perancangan bandar moden,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa semua pihak melihat pembangunan vertikal sebagai satu penyelesaian praktikal jangka panjang.

“Ia selaras dengan keperluan urbanisasi dan pertumbuhan penduduk yang semakin pesat khususnya di kawasan metropolitan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast