Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Asas ekonomi makro masih kukuh dengan ekonomi telah berkembang sebanyak 5.9 peratus pada tahun 2017 dan 5.4 peratus bagi suku pertama tahun 2018 sejajar dengan pemulihan ekonomi dunia dan harga komoditi.

Perkembangan itu disokong oleh dasar monetari yang akomodatif, di samping mengekalkan kestabilan harga.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun kadar inflasi meningkat kepada 3.7 peratus pada tahun lepas namun masih ia masih terkawal dan
telah berkurangan kepada 1.7 peratus bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Kadar pengangguran pula kekal stabil pada 3.4 peratus pada tahun 2017 iaitu ekonomi masih berada pada tahap guna tenaga penuh.

Rizab antarabangsa juga masih mampan dengan jumlah RM423.4 bilion (bersamaan dengan AS$104.7 bilion) setakat 29 Jun 2018, yakni mencukupi bagi membiayai 7.5 bulan import tertangguh dan merupakan sekali ganda saiz hutang luar negeri jangka pendek.

“Meskipun data ekonomi makro menunjukkan kedudukan ekonomi yang kukuh, namun ia tidak mencerminkan keadaan yang sebenar, yang mana masih terdapat isu ketidaksamaan pertumbuhan antara negeri, jurang antara kumpulan pendapatan terutamanya dalam kumpulan pendapatan 40 peratus terendah atau B40, kadar pengangguran belia yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah (BN) yang bertanya mengenai ekonomi modal, ekonomi rakyat, monetari dan fiskal.

Mohamed Azmin menambah, isu-isu itu telah menjejaskan kesejahteraan rakyat, sekaligus menyebabkan pembangunan ekonomi tidak dirasai oleh rakyat.

Tambahnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat dengan memastikan pembangunan negara bersifat inklusif dan memberi tumpuan kepada projek pembangunan yang akan meningkatkan taraf hidup semua lapisan rakyat.

Kedudukan kewangan kerajaan terutamanya yang berkaitan hutang negara merupakan cabaran yang perlu ditangani segera oleh kerajaan.

Data rasmi menunjukkan hutang negara berjumlah RM686.8 billion bagi 2017 bersamaan dengan 50.8 peratus kepada KDNK.

“Sekiranya diambil kira jaminan kerajaan dan komitmen lain, paras hutang berkenaan akan mencecah RM1.1 trillion atau 80.3 peratus kepada KDNK.

“Oleh itu, kerajaan harus mengambil langkah drastik untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius dan berlakunya kebankrapan negara.

“Hutang kerajaan juga akan diteliti dan distruktur semula bagi mengurangkan pendedahan risiko kewangan,” ujar beliau.

Mohamed Azmin menambah, tumpuan dasar kerajaan pada masa hadapan juga akan mengimbangi objektif pengukuhan kedudukan fiskal dan penekanan kepada pertumbuhan ekonomi bagi menangani sentimen pasaran dan pelabur serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prospek ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast