KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (carilamat) bagi mengesan seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Batu Linting, Kuala Penyu, petang kelmarin.
Pengarah Maritim Zon Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, mangsa yang hilang dikenali sebagai Jason Alexander Jonathan, 15 tahun, dan dilaporkan kali terakhir dilihat memakai baju berwarna hijau serta seluar berwarna biru.
Menurutnya, pencarian kini meliputi sektor seluas 24 batu nautika persegi dengan tumpuan diberikan kepada kawasan perairan dan pesisir pantai yang dikenal pasti berpotensi berdasarkan penilaian keadaan semasa, faktor arus serta keadaan cuaca setempat.
“Sehubungan itu, pada hari ini, MRSC Kota Kinabalu bersama Ibu Pejabat Maritim Zon Labuan telah mengaktifkan operasi carilamat dengan menggerakkan pelbagai aset dan anggota bagi melaksanakan pencarian secara menyeluruh di lokasi kejadian serta perairan sekitarnya,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, terdahulu MRSC Kota Kinabalu menerima maklumat mengenai dua individu yang dikhuatiri hilang selepas dipercayai menghadapi kesukaran ketika mandi di kawasan pantai berkenaan pada kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Hasil pencarian tersebut, seorang lelaki dewasa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat di pesisiran pantai.
Bagaimanapun, seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 15 tahun masih belum dijumpai.
Izwanhadi berkata, operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Maritim Malaysia menerusi Bot PETIR 90, Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Maritim Malaysia selaku agensi penyelaras operasi carilamat akan terus memperkukuh usaha pencarian bersama semua agensi yang terlibat sehingga mangsa berjaya ditemui.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian atau keberadaan mangsa diminta untuk segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Labuan di talian 087-427999 bagi membantu operasi pencarian yang sedang dijalankan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















