Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad (dua kiri) bersama Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron (kiri) bergambar bersama buku PENA - MalaysiaMadani selepas sidang media Pelancaran Fasa Ketiga Projek Penerbitan Buku PENA - Malaysia Madani pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) membuka peluang kepada penulis, sasterawan, ahli akademik dan pengkarya tempatan di seluruh negara menghantar manuskrip bagi Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani Fasa Ketiga.

Karya terpilih bakal diterbitkan secara profesional serta menerima bayaran royalti pendahuluan.

Presiden PENA, Dr  Mohamad Saleeh Rahamad berkata, setiap manuskrip yang berjaya dipilih akan dicetak sebanyak 1,000 naskhah dan melalui proses editorial serta penerbitan yang lengkap dalam tempoh enam bulan.

“Projek ini bukan sekadar program penerbitan buku, tetapi usaha memperkukuh budaya ilmu, memperkasa bahasa Melayu dan melahirkan lebih banyak karya tempatan berkualiti yang mampu membina pemikiran masyarakat serta memperkaya peradaban negara,” katanya dalam sidang media di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL) di sini hari ini.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad bercakap pada sidang media Pelancaran Fasa Ketiga Projek Penerbitan Buku PENA – Malaysia Madani pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

Majlis pelancaran fasa ketiga itu turut dihadiri Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia Madani yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengelola Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, Mohd Khair Ngadiron.

Untuk makluman, sejak dilaksanakan pada 2024, projek berkenaan berjaya menerbitkan lebih 128 judul buku melibatkan lebih 150 penulis tempatan.

Buku-buku yang diterbitkan turut diedarkan ke 2,292 sekolah menengah, 20 universiti awam serta perpustakaan desa di seluruh negara.

Bagi fasa ketiga, PENA membuka penyertaan manuskrip dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi, drama pentas, buku umum, biografi, memoir, travelog dan buku bergambar kanak-kanak.

Menurut Mohamad Saleeh, manuskrip yang terpilih akan dinilai oleh panel pakar sebelum melalui proses editorial, reka bentuk dan penerbitan secara sistematik.

Penghantaran manuskrip dibuka mulai hari ini hingga 31 Disember depan menerusi bukupena.com.my.

Antara syarat yang ditetapkan ialah karya perlu ditulis dalam bahasa Melayu, merupakan karya asli penulis serta mematuhi Tatabahasa Dewan dan Gaya Dewan Edisi Keempat.

Novel perlu disertakan sinopsis manakala kumpulan cerpen, puisi, drama atau esei perlu mempunyai prakata.

PENA berharap lebih ramai pengkarya tempatan tampil menghantar manuskrip berkualiti tinggi bagi memperkukuh pembangunan persuratan, budaya ilmu dan ekosistem penerbitan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast