KUALA LUMPUR – Lagi percubaan mencuri kabel di kawasan landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Bagaimanapun penjenayah terbabit berjaya ditahan di kawasan landasan Kilometer (km) 36.215 – Downline Klang, ditahan semalam.
KTMB berkata, sekitar jam 1.15 tengah hari mereka menerima maklumat berhubung gangguan litar landasan (track occupied) di KM36.215 – Downline Klang.
Menurutnya, ketika itu anggota Polis Bantuan KTMB menjalankan rondaan bersama Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
Pasukan kemudian bertindak segera ke lokasi dan berjaya mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang merentap serta mencuri kabel di kawasan landasan.
“Suspek kemudiannya berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota Polis Bantuan KTMB dengan bantuan Pasukan Taskforce D4 JSJ IPD Klang Selatan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa gulung kabel serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan itu.
“Pemeriksaan lanjut oleh pihak teknikal mengesahkan gangguan litar landasan berpunca daripada perbuatan mencuri kabel,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Katanya, suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya, jika bersabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta untuk segera menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan tindakan segera diambil.-MalaysiaGazette

















Aku hairan,kedai jual aksesori haram motor bleh plak nak serbu/sita..
Tapi kedai besi buruk/barang kitar semula tak mahu plak di serbu/sita,..Sebab apa ya,sedangkan semua pencuri² kabel ini akan jual di situ.
Tidak akan ada pencurian kabel jika tak ada kedai penadah baraang kabel ni..Ke sbb pemilik semua kedai besi buruk/kitar semula ni milik satu DS?
Saja tanya je kan…